JBPM Harap Kerajaan Pertimbang Aspek Perkhidmatan Bomba Dalam Belanjawan 2020

JBPM Harap Kerajaan Pertimbang Aspek Perkhidmatan Bomba Dalam Belanjawan 2020

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap kerajaan mempertimbangkan aspek perkhidmatan kebombaan, penyelamatan, keselamatan dan khidmat kemanusiaan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentang Jumaat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata aspek itu antaranya merangkumi pembinaan balai bomba, penambahan aset operasi kebombaan serta tugas mencari dan menyelamat (SAR) di air dan daratan.

“JBPM juga mengharapkan belanjawan itu nanti mengambil kira aspek pengendalian bahan bahaya anggota pasukan dari unit bahan berbahaya (HAZMAT) selain kemalangan industri dan domestik,” katanya.

Beliau berkata, penambahan binaan balai bomba adalah untuk meningkatkan perlindungan keselamatan di bandar, luar bandar dan pedalaman manakala penambahan aset operasi bagi operasi kebombaan pula bertujuan untuk aktiviti pemadaman dan penyelamatan di bangunan tinggi, hutan dan struktur khas.

Katanya, belanjawan itu diharap dapat disalur ke arah penyelenggaraan aset sedia ada serta pemodenan kelengkapan kebombaan.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan memberi perhatian kepada elaun anggota pasukan itu serta penyelenggaraan peralatan logistik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Roslan Wahab, berkata elaun anggota dan pegawai APM kini masing-masing berada pada paras RM8 sejam bagi anggota dan RM9 sejam untuk pegawai.

“Kekuatan APM terletak pada sukarelawan, lebih ramai anggota perlu digerakkan ke lokasi,” katanya.

– BERNAMA