Jenazah Rakyat Malaysia Yang Diculik Pengganas Abu Sayyaf Akan Dihantar Ke Sabah

Jenazah Rakyat Malaysia Yang Diculik Pengganas Abu Sayyaf Akan Dihantar Ke Sabah

0
SHARE
Jari Abdullah...(Sumber Foto; Laman Media Sosial Facebook)

SANDAKAN, SABAH – Rakyat Malaysia, Jari Abdullah yang diculik oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf ketika memukat ikan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Disember lalu, meninggal dunia di Hospital Zamboanga, Filipina semalam.

Jari dan dua rakannya, warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, kemudiannya melarikan semua mangsa ke Selatan Filipina dan meminta wang tebusan RM4 juta setiap seorang.

Pada 4 April lalu, ketiga-tiga mereka cuba menyelamatkan diri dan berjaya ditemui pasukan keselamatan.

Namun, Hariadin ditemui mati lemas, manakala Heri selamat dan Jari pula cedera parah ketika ditemui dipercayai terkena tembakan oleh anggota Abu Sayyaf.

Isteri Jari, Nadin Junianti Najiri, 25, berkata perkara itu disampaikan sendiri oleh ibu mertuanya yang kini berada di Zamboanga.

“Petang semalam, ibu mertua bersama ipar ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Zamboanga bagi melihat keadaan suami dan awal pagi tadi antara pukul 2 hingga 3 pagi, ibu mertua memberitahu suami saya sudah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama.

“Saya pun masih tunggu panggilan mereka (ibu mertua) bergerak mahu pergi sini, mereka pun tidak pasti bila balik (bergerak), cuma sekarang mereka sedang berurusan (proses penghantaran jenazah) dan saya pun bingung,” katanya lagi.

Nadin redha dengan pemergian suaminya dan kini hanya mahu memberi fokus kepada 3 anaknya yang berumur antara setahun hingga 7 tahun.

“Sebelum suami pergi (diculik) dia ingatkan saya untuk jaga anak, mengurus sekolah anak-anak, suami mahu saya besarkan anak-anak dengan pendidikan.

“Saya pun tidak sangka, itu hari terakhir saya jumpa dia dan itu pesanan terakhir dari dia,” katanya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, jenazah mangsa akan segera di bawa balik ke Malaysia dan seterusnya ke Sabah dalam tempoh terdekat ini.

“Kita ucapkan takziah kepada pihak keluarga mangsa. “Difahamkan jenazah mangsa ini akan dibawa balik ke Malaysia dan diuruskan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri,”  katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota  Kinabalu, pada Rabu.