Jokowi Arah Kabinet Baharunya Untuk Beri Keutamaan Penyediaan Peluang Pekerjaan

Jokowi Arah Kabinet Baharunya Untuk Beri Keutamaan Penyediaan Peluang Pekerjaan

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini mengarahkan anggota kabinet baharunya untuk memudahkan rangka kerja pentadbiran negara dalam bulan pertama mereka di pejabat, sambil menegaskan keutamaan pentadbiran baharu adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama Jokowi yang dipetik Reuters berkata, semua menteri perlu bekerja secara berkumpulan untuk mengenal pasti peraturan kerajaan pusat dan negeri yang bertindan serta terlalu rumit.

“Apa saja yang menghambat perkhidmatan kita kepada rakyat, menghalang pelaburan kepada komuniti perniagaan, kenal pasti dalam masa sebulan.“Matlamat terbesar kita…adalah menyediakan peluang pekerjaan. Ini apa yang diperlukan dan dimahukan oleh rakyat,” kata Jokowi yang mahukan peraturan itu disemak semula atau digugurkan.

Pada masa sama, presiden turut mengingatkan semua menteri agar tidak berselisih di khalayak umum, kerana mereka bebas untuk berdebat ketika dalam mesyuarat kerajaan.

Menurut Jokowi pada Mei lalu, walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan sejak mengambil alih kuasa pada 2014 untuk memudahkan urusan perniagaan tetapi pelabur masih mendapati berlaku kesukaran untuk memasuki beberapa sektor.

Selepas upacara angkat sumpah semua menteri semalam, beliau mengarahkan mereka untuk menyemak semula 74 undang-undang dengan menggunakan ‘undang-undang omnibus’ atau undang-undang yang merangkumi pelbagai isu dan tidak berkaitan.

Pelaburan langsung asing ke Indonesia agak lembap sejak beberapa tahun kebelakangan kerana faktor seperti ketidakpastian peraturan dan harga komoditi yang lemah.

Jokowi kesal kerana negara itu tidak menarik banyak pelaburan daripada pengeluar yang cuba keluar dari China berbanding dengan beberapa negara Asia Tenggara lain.

Sehubungan itu, Jokowi mengekalkan beberapa menteri ekonomi daripada kabinet terdahulu dalam pasukan baharu, termasuk Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati dan rakan lamanya yang menjaga kementerian maritim, sumber alam dan pelaburan, Luhut Pandjaitan.

Turut dilantik termasuk pengasas bersama Gojek, Nadiem Makarim, sebagai menteri pendidikan dan ahli politik Airlangga, Hartarto sebagai ketua menteri urusan ekonomi.

Jokowi menyaksikan upacara angkat sumpah semua menteri untuk penggal keduanya di kabinet semalam, separuh daripada menteri yang dilantik adalah golongan profesional manakala separuh lagi mempunyai hubungan dengan parti politik.