JPNK Tumpaskan Kegiatan Pembalakan Haram Di Hutan Simpan Ulu Muda

JPNK Tumpaskan Kegiatan Pembalakan Haram Di Hutan Simpan Ulu Muda

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

ALOR SETAR, KEDAH – Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berjaya menumpaskan kegiatan pembalakan haram dan merampas 15 tual kayu balak bernilai kira-kira RM3,000 di Hutan Simpan Ulu Muda, Tanjung Pari di Baling, Selasa lepas.

Jurucakap JPNK berkata serbuan pada kira-kira 5.30 petang yang diketuai Pegawai Hutan Daerah Kedah Selatan Mohd Faisal Nasaruddin itu adalah susulan maklumat awam dan risikan berhubung kegiatan haram di kawasan hutan seluas hampir 10 hektar itu.

“Siasatan awal kita juga mendapati sindiket mencuri dan memilih kayu yang berkualiti di kawasan hutan yang diteroka sejak tiga minggu lalu dan membabitkan kerugian kira-kira RM60,000,” katanya.

Modus operandi sindiket katanya ialah dengan membawa keluar kayu yang dicuri pada hujung minggu dan awal pagi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan dan menjualnya kepada kilang-kilang kecil di sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.

Kes disiasat mengikut Sekyen 15 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 (pindaan 1993) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 20 tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu boleh menghubungi Mohd Faisal atau Penolong Pegawai Hutan Daerah Kedah Selatan Ahmad Shuffir Zakaria pada talian 04-4903760.

– BERNAMA