Kabinet Sabah Setuju Cadangan Melarang Perkahwinan Bawah Umur 18 Tahun

Kabinet Sabah Setuju Cadangan Melarang Perkahwinan Bawah Umur 18 Tahun

0
SHARE

KENINGAU, SABAH – Kabinet negeri Sabah bersetuju dengan cadangan Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah melarang perkahwinan di bawah umur 18 tahun di negeri ini.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Jannie Lasimbang berkata keputusan itu muktamad dan merupakan pendirian kementerian yang dibuat dengan mengambil kira keputusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat persekutuan yang telah mengusulkan cadangan itu pada persidangan Parlimen yang lepas.

“Persekutuan memohon pindaan perlembagaan bahawa perkahwinan hanya 18 tahun ke atas. Apabila Parlimen memutuskan itu, undang-undang di Sabah akan dilihat bagi membuat pindaan untuk memastikan undang-undang itu selari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan, Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri Sook di sini, hari ini.

Seramai 86 ketua adat di seluruh kawasan Sook menerima watikah masing-masing pada majlis itu.

Jannie berkata semakan undang-undang itu melibatkan pindaan Enakmen Mahkamah Anak Negeri bagi memastikan tiada perkahwinan di bawah umur di negeri itu nanti.

“Di pihak kementerian, perubahan ini bukan sesuatu yang senang dicapai sebab itu kami mahu Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan seluruh ketua-ketua adat di sini (Sook) supaya sentiasa proaktif menyusun sebanyak mungkin program bersama akar umbi untuk memastikan perubahan itu dapat dicapai,” katanya.

Jannie berkata tafsiran seorang kanak-kanak itu adalah kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah dan ia juga sama di peringkat antarabangsa.

“Kita di Sabah pun mahu supaya perkara itu sama,” katanya.

Jannie berkata kementeriannya melihat isu itu dari sudut bahawa kanak-kanak seharusnya bebas dan mempunyai hak untuk berseronok menimba ilmu sebagai persiapan masa hadapan mereka dan dari sudut kesihatan pula, perempuan yang berumur 18 tahun ke bawah belum bersedia untuk memikul beban sebagai seorang ibu.

“Banyak komplikasi dari sudut kesihatan, di peringkat awal mungkin situasi itu tidak ketara tetapi apabila usia tua, masalah berkaitan kesihatan akan timbul kerana sebenarnya mereka belum bersedia sebagai seorang ibu,” kata Jannie.

– BERNAMA