Kastam Rampas Syabu Seberat 150 Kilogram

Kastam Rampas Syabu Seberat 150 Kilogram

0
SHARE

SERI KEMBANGAN – Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah disyaki syabu seberat 150 kilogram dianggarkan bernilai RM10.55 juta di premis di Seri Kembangan, petang semalam.

Memetik laporan Harian Metro, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 6 petang itu juga telah menahan tujuh lelaki berusia 22 hingga 43 tahun.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, hasil pemeriksaan dalam premis itu, pihaknya menemui enam guni serbuk putih disyaki dadah jenis syabu.

“Barang dagangan bersama barang disyaki dadah dibawa masuk dari Chennai, India melalui Pelabuhan Klang dan diikrarkan sebagai Magnesium Sulfat.

“Mereka didapati mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan enam guni syabu berkenaan bersama 794 magnesium sulfat untuk masuk ke sempadan negara,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.

Beliau berkata, ketika serbuan terdapat enam pekerja terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal sedang memunggah guni dari kontena masuk ke premis.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berhampiran lokasi. Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Siasatan masih diteruskan untuk menjejaki dalang dan ahli sindiket itu. Kami yakin akan menahan saki baki kumpulan ini dalam masa terdekat,” katanya.