Kastam Sabah Rampas Dadah Bernilai RM1.67 Juta

Kastam Sabah Rampas Dadah Bernilai RM1.67 Juta

0
SHARE
Zulkifli (kedua dari kiri) menunjukkan dadah jenis methamphetamine ketika sidang media itu...

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah jenis methamphetamine seberat 30.395 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.67 juta di dua lokasi berasingan pada 8 April lepas. Dua suspek lelaki warganegara Malaysia turut ditahan.

Kedua-dua individu terbabit masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Lahad Datu sekitar 11.46 pagi dan 4.30 petang pada hari yang sama.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata suspek pertama berumur 26 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ditahan di KKIA.

“Suspek kedua berumur 27 tahun ditahan di Lapangan Terbang Lahad Datu selepas anggota kastam mengimbas bagasi kedua-dua suspek terbabit dan mendapati wujud imej mencurigakan,” katanya.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasi suspek pertama, anggota kastam menemui 15 peket hablur jernih disimpan dalam peket teh berwarna kuning seberat kira-kira 15.168kg.

DADAH yang disorok di dalam bungkusan teh…(Sumber Foto; Lucas Simon)

“Pada bagasi suspek kedua, kami turut menemui 15 peket hablur jernih disimpan dalam peket teh berwarna kuning seberat kira-kira 15.227kg,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JKDM Sabah Datuk Hamzah Sundang.

Zulkifli menambah, kedua-dua suspek itu disyaki daripada sindiket yang sama kerana kedua-duanya datang dari Kuala Lumpur dengan penerbangan yang sama.

“Seorang singgah di KKIA manakala seorang lagi meneruskan penerbangan ke Lahad Datu,” katanya.

Zulkifli berkata pihaknya masih menyiasat sama ada dadah terbabit untuk pasaran dalaman atau pasaran luar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek masing-masing telah datang ke Sabah dan Sarawak sebanyak 17 dan 11 kali sejak Julai tahun lepas, namun, tidak dapat dipastikan sama ada suspek menyeludup dadah ataupun tidak.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.