KBS Lanjutkan Tarikh Tutup Permohonan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 Sehingga 15 Ogos

KBS Lanjutkan Tarikh Tutup Permohonan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 Sehingga 15 Ogos

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melanjutkan tarikh tutup permohonan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 sehingga 15 Ogos depan dalam usaha membantu penggiat sukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Memetik laporan Bernama, KBS dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa 248 permohonan diterima sejak inisiatif itu dilancarkan pada 17 Jun lepas dan ia sepatutnya ditutup esok.

Inisiatif itu merangkumi Bantuan Pengurusan Persatuan Sukan Kebangsaan; Bantuan Menjalankan Program dan Aktiviti; dan Bantuan Program Pendigitalan, Pengkomersialan serta Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Inisiatif itu merupakan langkah proaktif KBS bagi membantu penggiat sukan negara terutamanya dalam kalangan persatuan-persatuan sukan tanah air yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dengan peruntukan RM10 juta.

KBS berharap lanjutan tarikh tutup permohonan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya persatuan-persatuan sukan, seterusnya memberikan sinergi baharu pembangunan sukan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menurut kenyataan itu.