KBS, MSN Kaji Semula Perbelanjaan Semua Sukan

KBS, MSN Kaji Semula Perbelanjaan Semua Sukan

0
SHARE
Datuk Lokman Hakim Ali...

KUALA LUMPUR – Ketika pakej gaji bulanan RM175,000 Lim Teong Kim menjadi tajuk utama akhbar sejak seminggu lalu, pemotongan peruntukan dalam semua sukan di Malaysia tampak tidak dapat dielakkan pada masa depan.

Memetik kenyataan BH Online, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali mengesahkan kementeriannya dan Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang melihat semula program yang ditanggung kerajaan dan perancangan mereka tahun depan.

“Berdasarkan kedudukan ekonomi ketika ini dan situasi kewangan negara tahun depan, kami perlu bersedia untuk melihat perubahan dalam program yang kami sudah atur,” kata Lokman.

“Daripada apa yang saya faham, ketika ini kami sedang mengkaji semula dan mengkhususkan program kami dengan keadaan ekonomi semasa bagi menjadikannya lebih berkesan dan konsisten.

“Kami akan cuba melakukannya tanpa memberi kesan terhadap apa yang sudah dirancang untuk masa depan, terutama tahun depan.

“Benar, Program Kita Juara antara yang sedang dikaji semula, ada banyak sukan di bawah program itu dan program lain. Kami juga meminta organisasi terbabit untuk mengurangkan kos operasi mereka.

“Ini (pemotongan peruntukan) bukan hanya untuk sukan tapi semua termasuk pembangunan, pelaburan atau ekonomi, kami diminta melihat semula perbelanjaan kami.

“Kerajaan mahu melihat semua projek dilaksanakan bermula daripada perbelanjaan kosong dengan hanya keperluan penting akan didahulukan…

“Bagi saya ia keperluan negara, sesuatu yang penting buat kita laksanakan ketika ini, jadi kita boleh bersedia untuk sebarang kemungkinan dalam aspek peruntukan, kos dan lain-lain di masa depan.”

Lokman berkata, kajian semula itu akan diserahkan kepada Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila sudah lengkap.

“Kami masih dalam proses kajian semula, saya percaya kami akan mendapat maklum balas daripada semua pihak,” kata Lokman.

“Kami akan menyerahkan laporan dan cadangan kami kepada menteri untuk pengetahuan serta persetujuan beliau.”

Kita Juara adalah program persiapan atlet peringkat kedua selepas Program Podium.

Ia dilancarkan pada 2015 oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan sasaran mempersiapkan atlet kebangsaan bagi saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan seterusnya.