KDM Malaysia Perlu Ambil Alih Penganjuran Kaamatan Peringkat Negeri Sabah – PESOSA

KDM Malaysia Perlu Ambil Alih Penganjuran Kaamatan Peringkat Negeri Sabah – PESOSA

0
SHARE

PITAS, SABAH – Persatuan Etnik Sonsogon Sabah (PESOSA) mahu KDM Malaysia mengambil alih penganjuran Perayaan Tadau Kaamatan peringkat Negeri Sabah bermula tahun hadapan.

“Sudah tiba masanya kita buat perubahan dan penambahbaikan dalam acara Pesta Kaamatan,” ujar Presidennya, Jaibah Makaum.

KDM Malaysia akan “membolehkan  penambahbaikan dibuat” terutama dalam penganjuran program-program yang menjadi tumpuan bukan sahaja di peringkat negeri malah dipertontonkan diseluruh dunia seperti acara Unduk Ngadau dan Sugandoi, kata beliau lagi.

Jaibah Makaum…

“Saya mencadangkan agar Pesta Kaamatan pada Mei tahun hadapan dianjurkan oleh KDM Malaysia yang diterajui oleh Datuk Peter Anthony sendiri,” tambah beliau dalam ucapan dasar sempena majlis perasmian mesyuarat agung Pesosa di Dewan Kg Moliou disini hari ini.

“Setiap tahun KDCA merupakan penganjur…. kami mendapati sebahagian program tidak dibuat secara professional… luahan demi luahan kekesalan terutama daripada pihak etnik-etnik atau persatuan yang kecil ini tidak diendahkan selama ini,” katanya.

Beliau juga mahu perayaan peringkat negeri dipindahkan daripada Hongkod Koisaan di Penampang ke Kompleks Sukan Likas yang mempunyai ruang letak kereta luas selain lokasinya yang lebih mudah diakses dan berhampiran dengan pusat bandaraya.

“Saya amat berharap Datuk Peter selaku Presiden KDM Malaysia dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah membawa cadangan ini untuk dibincangkan di dalam Kabinet Negeri dan seterusnya dapat diluluskan oleh Kerajaan Negeri,” kata Makaum.

“Saya percaya cadangan ini akan memberikan penambahbaikan dalam kesatuan rakyat Sabah khususnya rakyat dikalangan komuniti Momogun,” tambah beliau lagi.

Makaum juga memohon agar ahli-ahli PESOSA diberikan peluang menabur bakti dalam apapun juga jawatan terutama di peringkat Majlis Daerah serta dalam istitusi Mahkamah Anak Negeri.

Datuk Peter diwakili oleh Setiausaha Agung KDM Malaysia, Mohd Zinin Andong Ajak dalam perasmian itu.