Keadaan EssZone Stabil, Tiada Ancaman Serius – Mat Sabu

Keadaan EssZone Stabil, Tiada Ancaman Serius – Mat Sabu

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Keadaan di Zon Selamat Timur Sabah (EssZone) setakat ini adalah stabil dan tiada ancaman baharu yang serius di kawasan itu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Katanya pasukan keselamatan yang menggabungkan kesemua tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Semua operasi biasa sahaja dan pihak pasukan keselamatan kita telah mengawal begitu baik…

“Saya berpuas hati dengan siap siaga mereka (pihak keselamatan) dan suasana di Sabah ini aman dan tenteram,” katanya selepas mendengar taklimat operasi daripada Panglima Markas 13 Briged (Esscom) Kem Cenderawasih Felda Sahabat, Datuk Hamdan Ismail dekat sini, hari ini.

Mohamad yang diiringi Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dalam rangka lawatan kerja dua hari sejak semalam di sekitar kawasan operasi di Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

Sementara itu, Mohamad berkata kementeriannya mengambil maklum berkaitan masalah perumahan serta sewaan kelompok yang dihadapi anggota di Markas 13 Briged tersebut.

“Kita cuba cari jalan penyelesaian masalah aduan tentera yang bertugas di sini berkaitan perumahan tentera…

“Kebanyakan mereka yang berkahwin isteri masih di Semenanjung Malaysia, (kalau) mereka datang sini terpaksa menyewa dan itu di luar kemampuan mereka (anggota),” katanya lagi.

– BERNAMA