Kebakaran Kecil Berlaku Di Hospital Miri

Kebakaran Kecil Berlaku Di Hospital Miri

0
SHARE

MIRI,SARAWAK – Unit Endoskopi Hospital Miri di sini mengalami kebakaran kecil melibatkan alat pendingin hawa malam tadi.

Dalam satu kenyataan di sini, Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu berkata, kejadian pada pukul 8.27 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

“Unit Endoskopi dipenuhi oleh asap hitam tetapi tiada api kelihatan, bekalan elektrik ke Unit Endoskopi telah diputuskan sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong ketika mengesahkan kejadian berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 8.48 malam dengan jentera tiba di lokasi pada pukul 8.52 malam.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9 malam.

Beliau berkata, kebakaran itu berkemungkinan besar disebabkan oleh lintar pintas dan siasatan lanjut akan dilakukan oleh pasukan penyiasat hari ini.

– BERNAMA