Kebakaran Ragut 7 Nyawa Sekeluarga Di Membakut

Kebakaran Ragut 7 Nyawa Sekeluarga Di Membakut

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

BEAUFORT, SABAH – Kebakaran sebuah rumah kayu di Kampung Bandau, Membakut, di sini, awal pagi ini telah meragut tujuh nyawa sekeluarga selepas rentung dalam kebakaran tersebut.

Tujuh sekeluarga yang menjadi mangsa rentung dalam kebakaran tersebut ialah Nadia, 25, dan enam lagi anaknya iaitu Nana Romel, 14; Aisa Romel, 13; Shasha Romel, 10; Danial Romel, 7; Faisal Romel, 5; dan Samasan Romel, 2.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian yang berlaku 1.15 pagi tadi menemukan semua mangsa rentung dipercayai tidak dapat keluar dari rumah disebabkan gagal membuka pintu jeriji rumah yang berkunci.

“Tiga individu, masing-masing ketua keluarga berusia 34 tahun dan seorang anaknya serta anak saudaranya bagaimanapun selamat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata tujuh mangsa itu terdiri daripada ibu bersama tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan rentung dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, suami dan seorang anak lelaki mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian badan dan telah dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.