Kebakaran Rumah Di Lahad Datu, 50 Penghuni Hilang Tempat Tinggal

Kebakaran Rumah Di Lahad Datu, 50 Penghuni Hilang Tempat Tinggal

0
SHARE
Sumber Foto; Ihsan Bomba via BH Online

LAHAD DATU – Hampir 50 penghuni hilang tempat tinggal selepas lapan rumah di Kampung Durian, Batu 2 Jalan Segama, dekat sini, musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Memetik laporan BH Online, kejadian jam 12.45 tengah malam itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat ke tujuh lagi rumah papan di kawasan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian jam 12.53 tengah malam sebelum menghantar 11 anggota bersama dua jentera.

“Sebaik tiba bomba segera melaksanakan operasi pemadaman dan berjaya mengawal api daripada merebak ke beberapa rumah yang terletak berdekatan.

“Kebakaran ini membabitkan lapan rumah jenis tidak kekal yang musnah sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.

“Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 2.30 pagi tadi.

Difahamkan, semua penghuni yang hilang tempat tinggal kini menumpang sementara di rumah ahli keluarga serta sanak saudara.