Keberkesanan Ubat Anti-Malaria Akan Diuji Ke Atas 3,000 Pesakit COVID-19

Keberkesanan Ubat Anti-Malaria Akan Diuji Ke Atas 3,000 Pesakit COVID-19

0
SHARE

WASHINGTON – Amerika Syarikat akan menguji keberkesanan ubat anti-malaria ‘hydroxychloroquine’ ke atas 3,000 pesakit positif COVID-19 di hospital di Detroit, Michigan dan keputusannya akan disemak untuk kajian rasmi, lapor agensi berita Xinhua yang dipetik kenyataan Naib Presiden Mike Pence, semalam.

Pence memberitahu dalam taklimat di Rumah Putih mereka bersedia untuk membekalkan doktor dan farmasi di kawasan Detroit dengan ‘hydroxychloroquine’.

Ubat anti-malaria ‘hydroxychloroquine’…

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, kerajaan pusat sudah menyimpan sebanyak 29 juta dos ‘hydroxychloroquine’.

Minggu lalu, Trump berkata ‘hydroxychloroquine’ diberikan kepada 1,000 pesakit di New York bersama dengan ubat Z-Pak atau ‘azithromycin’.

Pada Sabtu, Pengarah Institut Penyakit Berjangkit dan Alergi Kebangsaan, Dr. Anthony Fauci, berkata tiada maklumat tepat yang diperoleh untuk memberikan sebarang ulasan sama ada ubat itu boleh digunakan bagi merawat COVID-19.

Amerika meningkatkan pembangunan rawatan untuk pesakit COVID-19 termasuk melakukan ujian menggunakan hydroxychloroquine serta terapi berkaitan darah, ketika jumlah kes dan kematian terus meningkat.

Jumlah kes COVID-19 di negara itu sudah melebihi 337,000 pada Isnin dengan 9,619 kematian, menurut data Johns Hopkins University.