Kedudukan Azmin Ali Sebagai Menteri Besar Selangor Juga Tidak Selamat – PAS

Kedudukan Azmin Ali Sebagai Menteri Besar Selangor Juga Tidak Selamat – PAS

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ancaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk memecat tiga wakil rakyat PAS dalam Exco Kerajaan Negeri telah dijawab oleh pemimpin PAS dengan mengingatkan kedudukannya sendiri sebagai Menteri Besar juga belum selamat.

Ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada akan berlaku sebarang perubahan drastik pentadbiran negeri yang dipimpin Azmin ketika ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia pada 13 Mei yang lepas, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bertanyakan kembali kepada Mohamed Azmin berhubung kedudukan jawatan Menteri Besar yang disandangnya andai bertindak memecat tiga Exco PAS itu.

“Kita tengok apa akan berlaku, selepas itu apakah jaminan Mohamed Azmin akan kekal sebagai Menteri Besar”.

“Kalau dia nak bertindak, dia kena tengok apa manfaat ke atas diri dia juga”.

Azmin Ali sebelum ini telah memanggil semua tiga Exco daripada PAS, datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib bertemu dengannya.

Pertemuan itu diadakan selepas Majlis Syura Ulama PAS mengambil pendirian memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Menurut Mohd Khairuddin, tiga Exco PAS yang telah dilantik akan tetap menjalankan tugas sehingga khidmat mereka diperlukan.

Lim Guan Eng juga sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Azmin Ali memecat wakil rakyat PAS sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor. Lim telah dipetik sebagai berkata “Tindakan PAS ini tidak betul. Sudah cerai, cerai lah. Buat apa mahu duduk sana lagi? Saya sokong tindakan Azmin, mereka perlu letak jawatan,” merujuk kepada wakil rakyat PAS yang menjadi Exco ketika ini.