Kehangatan PRU14 Semakin Memuncak Apabila Parlimen Dibubarkan Hari Ini

Kehangatan PRU14 Semakin Memuncak Apabila Parlimen Dibubarkan Hari Ini

0
SHARE
Sumber Foto: FMT

KUALA LUMPUR – Parlimen dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pembubaran itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak, Perdana Menteri menasihati semua ketua kerajaan negeri untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei 2016.

Susulan pembubaran itu, lima negeri – Sabah, Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka – turut mengumumkan pembubaran DUN masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen ke-13 daripada Najib berdasarkan Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Pandikar berkata urusan bagi mengadakan PRU14 adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengesahkan telah menerima notis pembubaran itu melalui e-mel untuk mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRU14.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada PRU14 berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017.

– BERNAMA