Demi Laksanakan Tugas, Polis Cedera Parah Kemalangan

Demi Laksanakan Tugas, Polis Cedera Parah Kemalangan

0
SHARE

PUCHONG – Akibat daripada mengejar seorang penunggang motosikal lelaki yang mencurigakan, seorang anggota polis mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Serdang hari ini.

Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari sebagai berkata bahawa Lans Koperal Mohd Ridzuan Harun cedera di bahagian muka serta retak di kepala dan berlaku pendarahan di bahagian dalam, dan dia masih tidak sedarkan diri.

Insiden yang berlaku lebih kurang jam 1.10 pagi itu, mangsa bersama rakannya membuat rondaan dengan menunggang motosikal masing-masing di Jalan Persiaran Taman Tasik Prima.

Setibanya mereka di lokasi anggota terbabit terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal model Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa cuba menghampiri suspek bagi tujuan pemeriksaan tetapi lelaki terbabit terus memecut motosikal dan dua anggota mengejar suspek tersebut.

“Namun, apabila tiba di lokasi mangsa didapati terbaring berhampiran motosikal oleh rakan setugasnya dan suspek pula melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya,” kata ACP Mohammad Azlin.

Menurutnya lagi, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kemalangan terbabit sama ada mangsa dilanggar suspek atau bergelut dengan suspek memandangkan tidak ada saksi sawaktu kejadian berlaku.