Kekalkan Kejuaraan EPL, City Tutup Peluang Liverpool Bergelar Juara

Kekalkan Kejuaraan EPL, City Tutup Peluang Liverpool Bergelar Juara

0
SHARE

BRIGHTON – Manchester City meraih kemenangan selepas bangkit mengatasi Brighton 4-1 semalam, sekaligus berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) buat musim kedua berturut-turut.

Skuad The Citizens ini turut meranapkan peluang Liverpool untuk muncul juara dalam tempoh 29 tahun dengan kelebihan satu mata pada perlawanan terakhir EPL yang berlangsung serentak malam tadi.

Perlawanan semalam di Stadium Amex menyaksikan Manchester City yang ketinggalan menerusi gol tandukan Glenn Murray pada minit ke-27, namun skuad Pep Guardiola terus berjuang dengan agresif dan bangkit memburu kejuaraan EPL.

Sergio Aguero menyamakan kedudukan 83 saat kemudian dan jaringan pertahanan, Aymeric Laporte hasil tandukan meletakkan City di depan sebelum menuju rehat separuh masa.

Kejuaraan EPL semakin berada dalam dakapan City apabila Mahrez berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang ke gawang Brighton.

Gol keempat City hasil sentuhan Ilkay Gundogan pada minit ke-72 melengkapkan kemenangan bergaya dan hari kegemilangan skuad The Citizens untuk menjulang kejuaraan EPL.

Keputusan perlawanan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Meskipun Liverpool meraih kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield, namun ia belum memadai buat skuad The Reds yang mengumpul 97 mata untuk memintas kedudukan pasukan bimbingan Pep Guardiola.