Kelonggaran Selepas Perintah Berkurung Tamat Dan Cuaca Panas Punca Ribuan Orang Mengunjungi...

Kelonggaran Selepas Perintah Berkurung Tamat Dan Cuaca Panas Punca Ribuan Orang Mengunjungi Pantai

0
SHARE

BOURNEMOUTH, UNITED KINGDOM – Ribuan pengunjung membanjiri pantai di kala cuaca panas di negara itu semalam selepas tamatnya perintah berkurung di kebanyakan negara di seluruh dunia akibat penularan wabak COVID-19.

Pejabat Meteorologi memaklumkan, suhu mencecah 33.3 darjah Celsius direkodkan di Lapangan Terbang Heathrow di barat London, sehari selepas suhu setinggi 32.6 darjah Celsius mendorong orang ramai berpusu-pusu ke pantai.

Insiden berkenaan ternyata menggemparkan pihak berkuasa tempatan di Bournemouth yang sangat terkejut apabila mendapati beribu-ribu orang memenuhi kawasan pantai ketika cuaca begitu cerah.

Ini kerana, walaupun kunjungan ke pantai dibenarkan selepas perintah berkurung, kelonggaran yang diberikan tetap mengingtkan orang ramai untuk sentiasa mengelakkan perhimpunan beramai-ramai.

Malah, mereka berkata, keadaan itu menyebabkan jalan raya mengalami kesesakan teruk, parkir haram merata-rata, sampah bertimbun serta perilaku tidak wajar seperti pergaduhan akibat mabuk.

Pemimpin majlis perbandaran, Vikki Slade, berkata Bournemouth yang terletak di selatan pantai Inggeris, belum bersedia menerima kehadiran sebegitu ramai pengunjung, sekali gus meminta mereka meninggalkan kawasan itu.

“Tindakan serta perilaku tidak bertanggungjawab ramai pengunjung begitu mengejutkan, dan perkhidmatan kami terpaksa ditingkat bagi memastikan keselamatan semua orang,” katanya.

Insiden berkenaan menyaksikan pihak berkuasa tempatan itu terpaksa mengerah sumber tenaga tambahan, termasuk polis.

Pantai lain di seluruh Britain turut dilaporkan padat dengan pengunjung, termasuk di Southend-on-Sea di mana Magda Bewick merupakan antara mereka yang enggan melepaskan peluang melakukan aktiviti berjemur.

“Amat menyeronokkan untuk berjemur dan melihat kanak-kanak gembira bermandi-manda di laut…

“Saya sudah kehilangan pekerjaan, justeru apa lagi yang boleh dilakukan? Saya sudah bosan berkebun,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, Asisten Ketua Konstabel Sam de Reya daripada Polis Dorset di Bournemouth pula berkata, pasukannya terpaksa berharap orang ramai mengambil tanggungjawab kendiri berhubung keadaan terbabit.

“Kita jelas masih berada dalam krisis kesihatan awam dan kunjungan begitu ramai orang ke satu-satu kawasan, menambah tekanan terhadap sumber perkhidmatan kecemasan,” katanya.

Britain terkesan teruk akibat penularan wabak COVID-19 dengan merekodkan jumlah kematian tertinggi di Eropah, setakat ini.

Kadar jangkitan dilaporkan menurun dengan ketara, namun Kementerian Kesihatan semalam merekodkan 149 kematian lagi yang menjadikan jumlahnya mencecah 43,230 mangsa.