Kemenangan Calon PH-DAP Sandakan Di Kawasan PDM Majoriti Pengundi Islam Didorong Oleh...

Kemenangan Calon PH-DAP Sandakan Di Kawasan PDM Majoriti Pengundi Islam Didorong Oleh Pengaruh Ahli PPBM Sabah

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Seperti dijangkakan kemenangan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan masih berpihak kepada calon PH-DAP Vivian Wong.

Walau bagaimanapun, yang menjadi perbincangan hangat dikalangan ahli politik dan orang awam ketika ini adalah bagaimana kawasan PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang majoritinya penganut agama Islam telah dikuasai sepenuhnya oleh calon PH tersebut.

Ketika diajukan soalan ini kepada penganalisis politik bebas Al-Hadi Syihab “kemenangan calon PH tersebut di kawasan yang mana majoriti kawasan Islam turut dipengaruhi oleh sokongan ahli UMNO yang telah menyertai Parti Pribumi Bersatu, seteru politik BERSATU mungkin akan cuba mempertikaikan perkara ini, namun ini adalah fakta yang kita harus terima.”

Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor…

“Saya difahamkan Datuk Seri Panglima Hajiji, Pengerusi BERSATU Sabah juga telah mengarahkan kesemua Ketua-Ketua Bahagian Penaja di Sandakan termasuk Beluran berjumpa ahli BERSATU di Sandakan bagi membantu dan memastikan setiap ahli-ahli BERSATU mengundi calon PH-DAP tersebut”.

“UMNO kena terima hakikat bahawa kemasukan beramai-ramai pimpinan UMNO Sabah ke dalam Parti Pribumi Bersatu sebenarnya telah menghilangkan pengaruh UMNO di Sandakan,” Al-Hadi berkata lagi.

Untuk rekod, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan penubuhan 26 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah dan Labuan. Seramai 127,000 orang sudah mendaftar sebagai ahli BERSATU di Sabah setakat ini dan mencatatkan Sabah sebagai negeri yang mempunyai bilangan ahli BERSATU yang terbesar di Malaysia.

Pada pilihan raya pecil kali ini Vivian Wong (PH-DAP) telah memperoleh 16,012 undi menewaskan calon Parti Bersatu Sabah (PBS GBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi) dalam pertandingan lima penjuru, turut menyaksikan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.

Parlimen Sandakan turut dikenali sebagai kubu kuat DAP sejak dahulu lagi. Pada pilihan raya umum Mei 2018, Stephen Wong yang mewakili DAP mempertahankan kerusi berkenaan untuk kali ke-2 dengan majoriti kira-kira 10,000 undi – 10 kali ganda majoriti yang diperolehinya sewaktu parti itu merampas kerusi Sandakan daripada Barisan Nasional (BN) pada 2013.

Barisan Nasional tidak bertanding pada pilihan raya kecil kali ini sebaliknya Parti PBS daripada blok Gabungan Bersatu Sabah (GBS) turun bertanding untuk kali pertama selepas parti tersebut keluar daripada Barisan Nasional.

Dalam pada itu, penganalisis politik lainnya pula turut melontarkan pandangan bahawa kemenangan DAP di Parlimen Sandakan bukanlah satu petunjuk bahawa pengaruh Pakatan Harapan (PH) semakin melonjak khususnya di Semenanjung Malaysia, ini disebabkan senario politik Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia jelas jauh berbeza.

Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) telah kalah tiga kali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Cameron Highland, DUN Semenyih dan Rantau.