Kemenangan Sulung Buat Skuad Sepak Takraw Wanita Malaysia Tundukkan Jepun 3-0

Kemenangan Sulung Buat Skuad Sepak Takraw Wanita Malaysia Tundukkan Jepun 3-0

0
SHARE

PALEMBANG, INDONESIA — Skuad sepak takraw wanita negara akhirnya berjaya melakar kemenangan sulung dengan menundukkan Jepun 3-0 dalam acara regu berpasukan pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan, dalam temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Ranau Hall, Jakabaring Sport City, hari ini.

Turun dengan hanya satu misi iaitu mencari kemenangan, anak buah Mohd Fikri Mohd Nor tidak berlengah lagi apabila regu pertama negara berjaya menyumbang mata pertama walaupun terpaksa beraksi sehingga ke set penentuan untuk menang 17-21, 21-13, 21-19.

Regu kedua negara yang dikemudi oleh tekong meningkat naik, Emilia Eva Natasha Saudia meneruskan aksi cemerlang skuad negara apabila mudah menumbangkan wakil Jepun dengan catatan mata 21-19, 21-12.

Regu ketiga negara juga tidak ketinggalan untuk menyumbangkan mata apabila mereka juga menjinakkan regu Jepun dengan kiraan mata 23-21, 22-20.

“Walaupun kekalahan pada Myanmar di sebelah pagi tadi telah menutup ruang untuk kita melangkah ke peringkat separuh akhir, tetapi dengan kemenangan ke atas Jepun ini setidaknya telah meningkatkan moral pemain untuk perlawanan terakhir esok.

“Jadi perlawanan terakhir esok menentang Indonesia adalah sebagai perlawanan untuk memulihkan maruah skuad negara dan pastinya kita akan berikan tentangan yang hebat,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

Terdahulu, pada aksi di sebelah pagi, skuad negara gagal menyaingi kehebatan Myanmar apabila tumpas 0-3…

Selepas tiga perlawanan, skuad bimbingan Mohd Fikri hanya mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan sekaligus menyaksikan pintu untuk mara ke peringkat separuh akhir sudahpun tertutup walaupun berbaki satu lagi perlawanan bertemu pasukan tuan rumah, Indonesia oada esok.

Sementara itu, skuad lelaki pula sah akan bertemu pasukan tuan rumah, Indonesia pada siangan separuh akhir acara yang sama juga pada esok.

Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan juara bertahan Thailand yang akan membuat perhitungan dengan pasukan meningkat naik, India.

— BERNAMA