Kemenangan Tok Mat Pada PRU14 Bagi Kerusi DUN Rembau Tidak Sah, Dibatalkan...

Kemenangan Tok Mat Pada PRU14 Bagi Kerusi DUN Rembau Tidak Sah, Dibatalkan Serta-Merta

0
SHARE
Tok Mat @ Datuk Seri Mohamad Hasan...

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, perlu diadakan serta-merta.

Tambah Azimah, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

“Ini diakui peguam oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulis.

“Dengan itu, mahkamah membenarkan pempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah atau batal.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Mohamad yang mesra dikenali Tok Mat menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR  gagal memberitahunya ketika mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Dr Streram pada PRU14 yang lalu dihalang masuk kerana gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan di DUN Rembau…

Mohamad diwakili lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Dr Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Mohamad yang ditemui pemberita selepas penghakiman itu dibuat memberitahu bahawa dia akan berbincang dengan peguamnya sama ada untuk merayu keputusan tersebut.

“Saya hormati keputusan mahkamah…

“Saya ada 14 hari untuk buat rayuan selepas berunding dengan peguam saya,” katanya.