Kemenangan Tun M Dan PH Disebabkan Sokongan ‘Liberal’ – Calon Bebas PRK...

Kemenangan Tun M Dan PH Disebabkan Sokongan ‘Liberal’ – Calon Bebas PRK Port Dickson

0
SHARE
Stevie Chan Keng Leong...

KUALA LUMPUR – Pendokong gerakan BERSIH yang juga calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Stevie Chan Keng Leong membidas calon dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyelar Anwar kerana menyifatkan tuntutan hak asasi manusia oleh golongan “Super-Liberal” seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai sesuatu yang keterlaluan beberapa hari lalu.

Keng Leong mengingatkan Ketua Umum PKR itu bahawa kemenangan PH yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu disebabkan sokongan liberal.

“Dalam minggu-minggu sebelum 9 Mei 2018 dan kemenangan Pakatan Harapan, saya melihat rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan bekerjasama untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Konservatif, liberal, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli, orang pribumi, orang
miskin, orang kaya, lurus, gay – semua memainkan peranan dalam kejayaan PH,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Keng Leong yang berasal dari Melaka dan menetap di Segambut, Kuala Lumpur berkata, serangan Anwar terhadap golongan yang digelar “Super-Liberal” tidak menghairankan kerana mereka mudah diraih sokongan dan mudah dipinggirkan apabila dirasakan tidak selesa.

Kata beliau, golongan “Super-Liberal” selepas sekian lama dilayan seperti itu telah faham dengan wayang ahli politik untuk memenuhi
kehendak kumpulan berlainan pada masa yang berlainan.

“Itulah sifat ahli politik. Tetapi walaupun ini bukan kejutan, tidak bermakna ia tidak mengecewakan. Saya percaya serangan ini berbahaya kerana ia menetapkan garis pertempuran yang jelas untuk yang lain menyerang kumpulan ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya jalan ke arah penerimaan gerakan liberal termasuk LGBT oleh seluruh masyarakat Malaysia akan mengambil masa yang lama dan pemimpin negara mesti menentang sebarang jenis diskriminasi keatasnya.

“Pemimpin mesti sentiasa ingat peranan menjadi pembela golongan terpinggir kerana mereka adalah orang yang paling memerlukan sokongan…

“Kita mempunyai banyak masalah yang lebih besar untuk ditangani. Untuk menyelesaikan isu-isu besar negara, seperti keadaan hutang kita, pengangguran belia, ketidaksamaan pendapatan dan pertumbuhan gaji yang lemah, memerlukan semua rakyat Malaysia bekerja sama tanpa diskriminasi,” katanya.

– MYNEWSHUB.TV