Kemungkinan Jangkitan ‘Koronavirus’ Disebarkan Melalui Tenggiling

Kemungkinan Jangkitan ‘Koronavirus’ Disebarkan Melalui Tenggiling

0
SHARE

BEIJING, CHINA – Wujud satu kemungkinan di mana penularan wabak maut ‘Koronavirus’ di China mungkin turut disebarkan melalui tenggiling kepada manusia. Ini menerusi pemerdagangan haram tenggiling, iaitu satu-satunya mamalia bersisik di dunia yang menjadi buruan di Asia untuk jadikan makanan dan bahan ubatan.

Tenggiling adalah antara haiwan liar yang paling kerap diperdagangkan walaupun tertakluk kepada undang-undang antarabangsa kerana dagingnya dianggap sebagai juadah eksotik dan mewah di beberapa negara termasuk China, manakala sisiknya pula digunakan dalam kaedah perubatan tradisional, kata Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).

“Penemuan terbaharu ini akan menjadi bahan terpenting untuk mencegah dan mengawal punca virus,” kata Universiti Pertanian Selatan China yang mengetuai penyelidikan itu di laman sesawang mereka.

Penularan wabak ‘Koronavirus’ sehingga kini sudah meragut 636 nyawa di China, dan dipercayai bermula di pasar menjual pelbagai hidupan liar di Wuhan, dalam wilayah Hubei.

Pakar kesihatan yang dipetik Reuters berpendapat bahawa virus berkenaan berasal dari kelawar dan dipindahkan kepada manusia menerusi satu lagi spesies haiwan (tenggiling).

Profesor Jabatan Perubatan Veterinar dari Universiti City Hong Kong, Dirk Pfeiffer bagaimanapun memberi amaran, kajian itu masih terlalu awal untuk mengesahkan bahawa tenggiling adalah sumber pemindahan virus berkenaan.

“Anda hanya boleh mendapatkan rumusan yang lebih tepat jika membuat perbandingan penularan coronavirus membabitkan spesies berbeza berdasarkan sampel diambil,” katanya