Kenal Pasti Keluasan Kawasan Sabah Untuk Dijadikan Tempat Pembiakan Hidupan Liar –...

Kenal Pasti Keluasan Kawasan Sabah Untuk Dijadikan Tempat Pembiakan Hidupan Liar – Shafie

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Kerajaan negeri Sabah akan mengenal pasti keluasan kawasan di negeri ini untuk dijadikan tempat tinggal dan pembiakan hidupan liar, khususnya haiwan yang diancam kepupusan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melindungi dan memastikan kelangsungan kehidupan haiwan berkenaan yang menjadi khazanah negeri ini.

“Saya telah meminta Datuk Christina Liew (Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) untuk mengenal pasti beberapa kawasan untuk kita tempatkan haiwan-haiwan ini.

“Ia akan menjadi seperti di Afrika yang ada Taman Negara Serengeti yang mempunyai beribu-ribu ekar tanah untuk menempatkan hidupan liar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas solat sunat Aidiladha di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, kawasan itu bukan sahaja akan menempatkan hidupan liar, tetapi juga sebagai satu tarikan pelancong untuk melihat usaha baik negeri ke arah memelihara hidupan liar di Sabah.

Beliau berkata, Liew telah ke Jakarta untuk berbincang mengenai konservasi badak sumbu Sumatera dengan Ketua Pengarah Sumber Asli dan Konservasi Ekosistem Indonesia, Wiratno.

Langkah itu juga, katanya, bagi menjalin kerjasama untuk menjalankan pembenihan zuriat ke atas satu-satunya badak sumbu Sumatera di Malaysia bernama Iman, yang ditempatkan di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

“Badak sumbu satu-satunya di Malaysia ini tidak akan berupaya untuk melahirkan generasinya kerana tidak ada teman dan disebabkan itulah saya meminta Datuk Christina untuk ke Jakarta agar satu usaha dapat dilakukan bersama Indonesia.

“Alhamdulillah, pihak berkuasa Indonesia telah bersetuju dan kita berterima kasih atas kerjasama baik mereka untuk memenuhi hasrat kerajaan negeri melindungi haiwan ini daripada pupus,” katanya.

Satu memorandum persefahaman bagi maksud itu dijangka ditandatangani antara kerajaan Indonesia dan Sabah bulan depan.

– BERNAMA