Kenyataan Media Dato’ Mohamed Khaled Nordin Berhubung Milikan Hartanah oleh Warga Asing...

Kenyataan Media Dato’ Mohamed Khaled Nordin Berhubung Milikan Hartanah oleh Warga Asing di Forest City

0
SHARE
Dato’ Mohamed Khaled Nordin...

KENYATAAN MEDIA DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN BERHUBUNG MILIKAN HARTANAH OLEH WARGA ASING DI FOREST CITY;

Kenyataan Perdana Menteri YAB Tun Mahathir Mohammad bahawa warga asing tidak akan dibenarkan membeli hartanah di Forest City sama sekali tidak memeranjatkan. Tun Mahathir sememangnya konsisten dalam bantahan beliau terhadap pembangunan hartanah di Forest City dari dahulu lagi.

Dalam hal ini, Majlis Dasar Awam UMNO ingin menjelaskan pendiriannya seperti berikut:

Pertama, adalah diakui bahawa keputusan untuk mengekang milikan hartanah oleh warga asing bukanlah dasar yang asing kepada sesebuah kerajaan.

Banyak negara termasuk negara maju seperti New Zealand telah memperkenalkan dasar seumpama itu. Namun, ia dilaksanakan secara jelas, terancang, teratur dan berperlembagaan. Bukannya secara tiba-tiba melalui satu pengumuman yang hanya dikhususkan kepada satu projek hartanah tertentu sahaja.

Tanpa dasar rasmi negara sebagai sandaran dan asasnya, Kerajaan kelihatan melakukan tindakan yang boleh dianggap berunsur diskriminasi terhadap pembangunan hartanah di Forest City. Malah, ia membuka ruang tanggapan bahawa halangan serta sekatan pemilikan asing di Forest City ini merupakan satu keputusan yang didorong oleh sentimen politik dan bukan dipimpin oleh pertimbangan dasar yang objektif.

Kedua, lanjutan daripada itu, Majlis ini merasakan bahawa keputusan, dasar serta pendirian menghalang dan menyekat pemilikan hartanah oleh warga asing seperti ini tidak seharusnya bersifat eksklusif kepada Johor semata-mata. Sebaliknya, ia haruslah mencerminkan dasar sebenar Kerajaan secara umum terhadap hartanah milikan asing di Malaysia secara keseluruhannya.

Ia tidak boleh dilakukan secara terpilih-pilih. Lebih-lebih lagi apabila Kerajaan tidak memberikan penjelasan tentang sebarang dasar baharu negara yang akan dilaksanakan untuk mengawal pemilikan hartanah oleh warga asing.

Ketiga, kenyataan Tun Mahathir ini, seperti keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dalam kes Pedra Branca, pastinya sekali lagi amat memihak dan menggembirakan Singapura yang sedari awal menzahirkan kerisauan yang mendalam terhadap kelestarian projek tersebut.

Malah beberapa pihak di Singapura secara terbuka telah mengkritik pelaksanaan projek tersebut dan menyebarkan keraguan tentang kejayaannya. Oleh yang demikian, Kerajaan mesti berupaya mengemukakan alasan yang jelas dan kukuh bahawa sekatan ini lebih bertujuan menjaga kepentingan Johor dan Malaysia dan bukannya Singapura.

Keempat, jika keputusan menyekat pemilikan oleh warga asing ke atas hartanah di Forest City ini diteruskan, ternyata ia adalah keputusan yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya Johor.
Johor adalah negeri yang telah menyaksikan kerancakan pembangunan hartanah secara besar-besaran dan melibatkan pemain industri global yang terkemuka dari China.

Langkah menghalang warga asing dari memiliki hartanah ini akan mewujudkan lambakan aset perumahan di Johor. Kegagalan untuk menjual hartanah bernilai tinggi ini pasti memberikan tekanan luar biasa kepada ekonomi Johor dan pertumbuhannya.

Kelima, Majlis ini berpendirian bahawa telah tiba masanya untuk Forest City tampil dan menjelaskan sumbangan mereka kepada Johor.

Ini termasuklah jumlah cukai yang telah dibayar kepada Kerajaan Negeri semenjak bermulanya projek tersebut, program pembangunan sosial kepada masyarakat setempat, pembinaan kapasiti warga tempatan serta sumbangan-sumbangan lain yang telah dihulurkan oleh Forest City kepada Johor dan masyarakatnya.

Perkongsian dan penjelasan berhubung segala sumbangan langsung dan tidak langsung ini amat penting bagi menangani prejudis dan persepsi negatif rakyat Malaysia bahawa Forest City tidak langsung dibangunkan untuk manfaat Johor dan warganya.

Keenam, Majlis ini percaya wujud keperluan mendesak untuk YAB Menteri Besar Johor menyatakan pendiriannya dalam perkara ini. Kerajaan BN sebelum ini sangat konsisten dalam mempertahankan kewajaran pembangunan Forest City walaupun mendapat kritikan yang luar biasa dari pelbagai pihak terutamanya Pakatan Harapan Johor.

Telah tiba masanya Menteri Besar Johor menunjukkan ketegasan serta kepimpinannya. Bukan sekadar menyepi dan terus mengakuri sahaja semua tindakan Kuala Lumpur.

Malah, memandangkan anak syarikat Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Berhad (KPRJ) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri turut memegang kepentingan dalam projek ini, maka Menteri Besar Johor mesti menjelaskan strategi dan rancangan beliau untuk mengatasi masalah ini dengan Pengerusi parti beliau sendiri.

Johor memerlukan Menteri Besar untuk Johor dan bukannya Menteri Besar yang berkhidmat untuk kepentingan Kuala Lumpur.

Dato’ Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Majlis Dasar Awam UMNO Malaysia