Keputusan Kerajaan PH Tamatkan Perjanjian PDP Lebuhraya Pan Borneo Perolehi Penjimatan RM3.1...

Keputusan Kerajaan PH Tamatkan Perjanjian PDP Lebuhraya Pan Borneo Perolehi Penjimatan RM3.1 Bilion

0
SHARE

PUTRAJAYA – Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menamatkan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bakal memperoleh penjimatan sebanyak RM3.1 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan kerajaan untuk menamatkan perjanjian yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu itu dibuat selepas mendapati ia memberi implikasi kewangan yang tinggi.

Menurutnya, dengan penamatan perjanjian PDP itu juga, projek yang akan berkuat kuasa pada 20 Februari ini akan dibuat secara konvensional.

“Anggaran implikasi kewangan kepada kerajaan dengan penglibatan syarikat PDP sebelum ini adalah RM21.9 bilion manakala anggaran implikasi kewangan setelah perjanjian PDP ditamatkan adalah sebanyak RM18.8 bilion.

“Justeru, dengan penamatan ini, kerajaan tidak perlu membayar yuran PDP sebanyak 5.5 peratus daripada kos pembinaan serta kos-kos lain yang bersifat bayaran balik (reimbursable) kepada syarikat PDP.

“Selaras dengan keputusan untuk menamatkan perjanjian PDP, Kementerian Kerja Raya telah mengeluarkan notis penamatan PDP kepada syarikat terbabit pada 20 September lalu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan Projek Yang Baharu Bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perjanjian Pembiayaan Projek itu ditandatangani bersama Pengarah DanaInfra Nasional Berhad, Datuk Dr. Yaacob Mustafa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Zakiah Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Mengulas lanjut penamatan perjanjian tersebut, Guan Eng berkata, hasil penjimatan sebanyak RM3.1 bilion itu pula akan digunakan untuk melaksanakan projek infrastruktur lain di Sarawak demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Saya yakin bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786.4 kilometer ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi kepada Sarawak,” katanya.