Keputusan Muktamad Penamatan ECRL Belum Lagi Dibuat – Tun M

Keputusan Muktamad Penamatan ECRL Belum Lagi Dibuat – Tun M

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

PETALING JAYA – Keputusan akhir berhubung penamatan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan tiga buah negeri pantai timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang belum di buat lagi.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya berkenaan ECRL pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, kelmarin.

“Buat masa ini keputusan akhir belum dibuat, sesetengah perkara sudah diputuskan namun kita perlu cari penyelesaian yang lebih baik,” katanya.

Tun M turut berkata bahawa projek diterajui syarikat pembinaan Communications Construction Group Ltd (CCCC) dari China itu mempunyai perubahan dan memerlukan rundingan lanjut membabitkan pihak berkaitan.

“Buat masa ini sebenarnya tiada keputusan yang dibuat mengenai ECRL. Sebelum ini sudah ditetapkan, namun ketika ini ada beberapa perubahan…

“Rundingan yang dikendalikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan diumumkan setelah rundingan itu selesai,” katanya

Tun M ketika menjawab soalan media berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengkaji kos projek ECRL secara berterusan.

“Nampaknya ada tawaran oleh pihak lain yang kosnya lebih rendah. Saya rasa kerajaan terdahulu membuat anggaran (kos) yang sangat tinggi, kita perlu tangani perkara itu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dilaporkan berkata projek ECRL yang diterajui CCCC telah ditamatkan menerusi satu mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.

Menurut Azmin, keputusan itu terpaksa diambil kerajaan kerana tidak mampu untuk menanggung kadar faedah (interest) yang menghampiri RM500 juta setahun jika projek tersebut diteruskan dan akan bernilai RM81 bilion keseluruhannya.

Namun Lim Guan Eng, pada masa yang saman mengeluarkan kenyataan bercanggah dan dilaporkan terkejut dengan kenyataan Mohamed Azmin tersebut, malah menegaskan bahawa pendirian muktamad kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung status projek terbabit akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Mengulas kenyataan bercanggah berhubung projek ECRL itu, Tun Mahathir berkata, kedua-dua menteri betul, tetapi membuat pengumuman pada masa yang salah.

“Sebenarnya keputusan sudah dibuat. Menteri hadir dalam mesyuarat Kabinet, tetapi media tidak laporkan perkara sebenar dengan menekankan perkara lain.

“Sebenarnya yang patut diberi penekanan ialah hubungan kita dengan China kekal utuh. Media memberi tafsiran berbeza mengenai kenyataan menteri.

“Saya sendiri ada tanya menteri. Dia kata tak jawab macam itu,” Jelasnya.

Tun M turut berkata bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut apabila rundingan selesai.