Kerajaan Negeri Perak Ingatkan Untuk Tidak Terpedaya Dengan Tawaran Khidmat Sukat Tanah

Kerajaan Negeri Perak Ingatkan Untuk Tidak Terpedaya Dengan Tawaran Khidmat Sukat Tanah

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri Perak meminta penduduk sekitar Kuala Kurau agar tidak terpedaya dengan pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan menyukat tanah dengan mengenakan bayaran RM300 seorang.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata kegiatan itu dikesan berikutan aduan penduduk di beberapa kampung antaranya, Kampung Jalan Bawah, Kuala Kurau.

“Kita bimbang jika ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan memperdayakan penduduk dan sekali gus memberikan imej buruk kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang dekat sini hari ini.

Abdul Yunus Jamhari…

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti kampung baru, kampung tradisional dan kampung tersusun untuk diberikan geran hak milik tanah 99 tahun selepas pemberian itu dilaksanakan di Kampung Kuala Bagan Tiang, baru-baru ini.

“Penduduk jangan terburu-buru, sebaliknya tunggu maklumat daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Kerian kerana pemberian geran hak milik itu akan dibuat secara berperingkat membabitkan kampung yang akan dipilih nanti.

“Buat permulaan, Pusat Penempatan Masyarakat Setempat di Beriah dikenal pasti untuk dilaksanakan pemberian geran hak milik itu tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau berkata sebuah jalan baharu iaitu Jalan Tuju, di Kuala Kurau sepanjang dua kilometer sedang dalam pembinaan yang dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Pampasan berjumlah RM400,00 bagi perpindahan penduduk yang terbabit dengan pembinaan jalan itu sudah diselesaikan,” katanya sambil menambah, pembinaan jalan itu akan memberikan kemudahan kepada penduduk Kampung Batu 14 dan Kampung Tok Ngah di sini.

Pada majlis itu, seramai 250 murid dan pelajar menerima sumbangan kerajaan negeri serta Yayasan Perak berupa beg sekolah, kasut dan pakaian seragam bernilai RM150 setiap seorang bagi sesi persekolahan tahun depan.

– BERNAMA