Kerajaan Perlu Utamakan Peningkatan Teknologi Digital Bagi Hadapi Revolusi Industri 4.0

Kerajaan Perlu Utamakan Peningkatan Teknologi Digital Bagi Hadapi Revolusi Industri 4.0

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengutamakan peningkatan kemahiran terutamanya dalam teknologi digital dalam usaha menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Naib Presiden Pembangunan Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC Dr Sumitra Nair berkata lebih banyak dana perlu diperuntukkan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada dalam Belanjawan 2020.

“Kami berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih atau sekurang-kurangnya lebih fokus dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada kerana teknologi sentiasa bertukar, justeru mereka (tenaga kerja) perlu ditambah kemahirannya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di #mydigitalmaker Fair 2019 di sini.

Beliau berkata banyak peluang pekerjaan baharu akan wujud apabila berlakunya perubahan digital, dan memetik unjuran Forum Ekonomi Dunia bahawa 65 peratus tenaga kerja akan bekerja dalam sektor pekerjaan yang belum diwujudkan kerana ia memerlukan kemahiran digital.

Katanya selain pertambahan dana, perubahan mentaliti masyarakat juga penting bagi memastikan era transformasi digital dapat dikuasai sepenuhnya.

“Kebanyakan daripada kita berpuas hati meskipun telah bergelar graduan dan mempunyai pekerjaan. Kita ada kerja hari ini dan memikirkan bahawa itulah pekerjaan kita selamanya dan tidak kisah untuk meningkatkan kemahiran.

“Walaupun kerajaan memberikan insentif, mungkin tidak ada yang mahu melakukannya, jadi kita perlu mencari jalan untuk mewujudkan mentaliti pembelajaran sepanjang hayat ini,” katanya.

Mengenai #mydigitalmaker Fair, beliau berkata pameran tahun ini turut menampilkan keselamatan siber, pertanian digital dan sains data.

Sementara itu, mengenai gerakan #mydigitalmaker, beliau berkata idea semasa dimulakan tiga tahun lepas adalah menggalakkan idea inovasi untuk masyarakat, bermula dengan pelajar sekolah bagi menyediakan mereka dengan kemahiran dan pemikiran yang tepat agar kekal relevan dalam alam pekerjaan.

Sumitra turut berharap sistem pendidikan sekolah untuk pencipta masa depan dapat direalisasikan bagi memupuk pelajar yang celik teknologi sekaligus mencungkil bakat menerusi sistem berkenaan.

– BERNAMA