Kerajaan Persekutuan Sedia Maklum Masalah Kesesakan Jalan Di Pekan Ranau – Ewon

Kerajaan Persekutuan Sedia Maklum Masalah Kesesakan Jalan Di Pekan Ranau – Ewon

0
SHARE
Ewon menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada pergerakan Wanita Badukan yang diwakili Yarini Yansal...

RANAU, SABAH – Masalah kesesakan jalan raya di pekan Ranau yang seringkali berlaku terutama pada hari Tamu dan ketika musim perayaan mungkin boleh dikurangkan dengan menggunakan laluan jalan raya antara kampung Marakau dengan kampung Badukan.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr Ewon Ebin, berkata laluan tersebut merupakan alternatif terbaik bagi penduduk di daerah ini yang tinggal dari sebelah jalan Sandakan yang hanya berurusan di pekan tanpa melalui kawasan Tamu.

Bagaimanapun, katanya, masalah utama sekiranya melalui jalan raya alternatif itu adalah ketiadaan jambatan untuk kenderaan melalui sungai Liwagu di kampung Badukan yang biasanya hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda ketika paras air sungai rendah.

Menurut Ewon, masalah jambatan itu telahpun beliau kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui persidangan Parlimen namun pihak Jabatan Kerja Raya meminta agar permohonan itu dibuat dalam satu pakej termasuk menaiktaraf jalan raya dari kampung Kigiok ke Badukan dan keluar ke jalan Ranau Tambunan.

Katanya, permohonan tersebut telahpun beliau sampaikan kepada kerajaan dan diharapkan dalam masa terdekat ini pembinaan tersebut dapat dimulakan bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di Ranau sementara menunggu jalan raya Pan Borneo siap, jelasnya.

“Selagi saya masih merupakan ahli parlimen Ranau, saya akan sentiasa membuat susulan terhadap permohonan itu serta permohonan-permohonan pembangunan lain oleh rakyat daerah Ranau kepada pihak atasan dalam kerajaan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permohonan pembinaan jambatan kenderaan itu oleh ketua kampung Badukan, Gisin Ketingga, ketika majlis Pemimpin Bersama Rakyat di kampung itu, baru-baru ini.

Menurut Gisin jambatan kenderaan ke kampung itu sangat diperlukan oleh penduduk bagi memendekkan jarak perjalanan ke pekan Ranau berbanding melalui jalan raya Marakau untuk memasarkan hasil pertanian mereka serta menyelesaikan urusan-urusan lain.

Pada majlis itu, Ewon meluluskan peruntukan untuk membaiki jambatan gantung, membaiki bangunan Tabika serta pembekalan tangki penapis air serta menyampaikan peruntukan sebanyak RM3,000 bagi program pergerakan Wanita di kampung itu.

Ketua Pemuda UPKO Nasional, Arthur Sen, yang turut hadir pada majlis itu, turut meluluskan peruntukan 50 buah kerusi dan dua buah meja bagi kemudahan di balai raya kampung berkenaan.

Turut menghadiri majlis itu ialah Pegawai Khas Parlimen Japirin Sahadi; Pegawai Pembangunan Masyarakat Paginatan Georgina George; Pegawai Penerangan Sylvia Sumping; Setiausaha Parlimen Dallius Ubin, pegawai-pegawai perhubungan parlimen dan pemimpin setempat.