Kerajaan PH Berhasrat Selaraskan Enakmen Undang-Undang Syariah Berkaitan LGBT

Kerajaan PH Berhasrat Selaraskan Enakmen Undang-Undang Syariah Berkaitan LGBT

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Kerajaan berhasrat menyelaraskan enakmen undang-undang syariah berkaitan transgender sebagai usaha membendung aktiviti tidak sihat daripada berleluasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata cadangan penyelarasan itu perlu sebagai usaha memperkukuhkan lagi undang-undang syariah sedia ada.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 20,000 golongan transgender di Malaysia, dengan 83 peratus menjadi pekerja seks.

“Undang-undang sedia ada ketika ini tidak cukup ketat dan saya akan berjumpa dengan ketua-ketua jabatan agama Islam di Labuan, esok dalam satu persidangan dan di situ saya akan berbincang dengan mereka.

“Sebagai contoh, lelaki berpakaian wanita dengan tujuan tidak bermoral boleh dihukum tapi ia susah dibuktikan (tidak bermoral).

“Sekiranya dipinda kepada lelaki berpakaian perempuan tanpa alasan munasabah boleh dihukum, ia dilihat lebih preventif (mencegah),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fuziah Salleh…

Fuziah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, yang bertegas kerajaan pusat tidak akan menerima sama sekali amalan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak pernah mengiktiraf golongan transgender, mereka boleh dibantu menerusi penganjuran pelbagai program seperti mengubah kerjaya mereka dan peningkatan kemahiran.

“Masyarakat tidak seharusnya menghukum atau menyisih mereka, sebaliknya membantu mereka supaya kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Terdahulu, Fuziah hadir pada sesi dialog bersama anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sebuah hotel di sini hari ini.

– BERNAMA