Kerajaan PH Mahu Bersihkan Akaun, Jadikan Sektor Awam Lebih Telus – Lim...

Kerajaan PH Mahu Bersihkan Akaun, Jadikan Sektor Awam Lebih Telus – Lim Guan Eng

0
SHARE
Lim Guan Eng...

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu membersihkan akaun-akaunnya dan menjadikan sektor awam lebih telus dalam aspek kewangan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, buat permulaan, kerajaan komited beralih daripada akaun berasaskan tunai kepada perakaunan tertunggak menjelang 2021.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng (lima, kiri) dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Yunus (empat, kanan) bergambar bersama Ketua-Ketua Institusi Kewangan di Malaysia pada Program Malaysia A New Dawn anjuran Kementerian Kewangan Malaysia di sini hari ini. (Sumber Foto: Bernama)

Guan Eng berkata, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskalnya dengan lebih sistematik, Jawatankuasa Kewangan Awam telah ditubuhkan dengan mandat untuk menyeimbangkan antara komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal dan keperluannya untuk membuat perbelanjaan dan pelaburan produktif yang berterusan.

Sebagai contoh, beliau berkata projek-projek ‘gajah putih’ seperti projek saluran paip pelbagai produk dan projek saluran paip Trans-Sabah, yang dijangkakan membelanjakan lebih daripada RM10 bilion, telah dibatalkan.

“Banyak projek infrastruktur mega yang diperakui sebagai penting untuk produktiviti dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk projek pengangkutan awam berasaskan kereta api seperti Light Rail Transit 3 dan Mass Rapid Transit 2, diteruskan.

“Bagi projek-projek ini, kami mahu meneruskannya, namun kami komited untuk memastikan tidak ada skop yang tidak perlu dan berlebihan, dan pada masa yang sama memastikan kosnya berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata dalam mematuhi disiplin fiskal, kerajaan akan membentangkan langkah percukaian baharu pada pembentangan Belanjawan 2019.

“Kami mahu pengoptimuman kos dan usaha untuk meningkatkan pendapatan,” katanya sambil menambah kedudukan fiskal negara memerlukan tiga tahun untuk dipulihkan.

Dalam jangka sederhana, kerajaan akan tetap tegas dalam penyatuan fiskal ketika ia memperbaharu institusi, meningkatkan pendapatan, mengoptimumkan perbelanjaan, serta merasionalkan hutang.

Katanya, ekonomi akan terus berada pada kedudukan pertumbuhan yang mantap, didorong oleh permintaan domestik dan luar, dengan kerajaan mengutamakan dasar untuk memacu pengembangan.

Dalam jangka masa panjang, tumpuan kerajaan adalah untuk memastikan sumber pendapatan yang mencukupi dan stabil bagi pembangunan negara, yang membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) untuk melakukan kajian dan pembaharuan sistem cukai secara menyeluruh.

Guan Eng berkata, TRC telah diberi mandat untuk meminimumkan jurang cukai, mempelbagaikan hasil cukai dan melaksanakan sistem percukaian yang lebih efisien, neutral dan progresif, di samping meneroka cara untuk mengurangkan kebocoran dan pengelakan cukai.

“Jawatankuasa yang sama akan mengkaji semua insentif cukai yang diberikan sebelum ini untuk memastikan langkah-langkah ini masih relevan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang berkualiti tinggi,” katanya.

– BERNAMA