Kerajaan PH Sentiasa Tegas Terhadap Individu Yang Hina Agama Dan Kaum –...

Kerajaan PH Sentiasa Tegas Terhadap Individu Yang Hina Agama Dan Kaum – Mujahid Yusof

0
SHARE
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa...

PARIT BUNTAR, PERAK – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa bertindak tegas dan akan mengambil tindakan pantas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menghina agama serta kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengambil contoh kes terbaharu apabila dua individu menghina Nabi Muhammad SAW yang tular di Facebook baru-baru ini, mereka didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan.

“Kita dah tuduh mereka (hina nabi) di mahkamah mengikut undang-undang negara, sebab kita bukan negara Taliban, orang yang didakwa itu diberikan hak untuk mendapatkan pembelaan dan jaminan apabila di tuduh di mahkamah,” katanya semasa menutup Karnival Rahmah dan Ramah di pekarangan Surau Sungai Betul Bawah di Bagan Tiang dekat sini.

Anggota Parlimen Parit Buntar itu turut menyangkal dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya Peguam Negara, Tommy Thomas mempengaruhi pihak pendakwa raya membebaskan seorang individu dengan jaminan selepas didakwa.

Tommy Thomas…

“Selepas itu, mereka kaitkan pula dengan kenyataan Peguam Negara yang kononnya mengatakan ini adalah kebebasan memberi pandangan, namun hakikatnya dia (Tommy) tidak keluarkan kenyataan itu. Mengikut ‘rule of law’, apabila seseorang itu didakwa, dia akan diberi hak untuk pembelaan dan ketika itu dia ada hak diberikan jaminan,” katanya.

Pada 27 Febuari lalu, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW, namun dibebaskan dengan jaminan polis tiga hari kemudian, dan terdahulu, tindakan lelaki itu memuat naik karikatur menghina perkahwinan Rasulullah dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.

– BERNAMA