Kerajaan PH Tidak Akan Roboh Sekiranya Peralihan Kuasa Berlaku – Tun Daim

Kerajaan PH Tidak Akan Roboh Sekiranya Peralihan Kuasa Berlaku – Tun Daim

0
SHARE
Tun Daim Zainuddin...

KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin dalam satu kenyataan semalam berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai pelan peralihan kuasa yang menyeluruh di mana ia dapat mengelakkan kerajaan PH ‘roboh’ sekiranya sebarang peralihan kuasa berlaku daripada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada bakal pemimpin baharu.

Beliau berkata, PH hanyalah pakatan yang muda dan masalah yang dihadapi sekarang juga adalah dalam jangkaan.

“Dalam PH, ramai orang memainkan peranan sebagai parti pembangkang sebelum ini, mereka perlu belajar untuk memerintah,” katanya dalam wawancara dengan China Press.

Tun Daim juga yang dipetik Malaysia Gazette berpendapat ramai pemimpin PH telah memperbaiki prestasi masing-masing secara berperingkat.

Diminta memberi komen tentang terhakisnya keyakinan orang ramai terhadap PH, Daim berkata: “Betul ke? Saya tidak tahu.”

Daim bagaimanapun mengingatkan kepentingan PH mengotakan janji sambil menjelaskan bahawa sesetengah perubahan dan reformasi telah berjaya dilaksanakan kerajaan pakatan tersebut.

“Ada juga bahagian yang lebih rumit kerana membabitkan pindaan Perlembagaan. Kami kalah dalam soal pindaan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tun Daim percaya Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir.

“Memandangkan perkara ini sudah dipersetujui, maka beliaulah orang yang akan menjadi Perdana Menteri.

“Bagi saya, ini pasti akan berlaku melainkan berlaku pergaduhan,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Daim turut berkata bahawa kerajaan memerlukan 10 hingga 15 tahun untuk menghapuskan tol, tetapi pada peringkat ini apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan kadarnya.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan kajian dan sekarang sudah tiba giliran menteri untuk meneliti hasil berkenaan.

“Saya percaya menteri akan membuat pengumuman berkaitan tidak lama lagi,” katanya.