Kerajaan PH Tubuh Task Force Agar Malaysia Tidak Jadi ‘Tong Sampah’ Sisa...

Kerajaan PH Tubuh Task Force Agar Malaysia Tidak Jadi ‘Tong Sampah’ Sisa Pepejal Dunia

0
SHARE
Yeo Bee Yin...

KUALA LUMPUR — Kerajaan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan menjadi ‘tong sampah’ kepada sisa pepejal dunia susulan lambakan bahan buangan berkenaan ekoran tindakan China mengharamkan kemasukan sisa pepejal negara maju ke negara itu.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata bagi memastikan perkara itu, kerajaan mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan baharu bagi permohonan lesen import sisa pepejal, seterusnya membatalkan serta-merta lesen kesemua 114 pemegang lesen sebelum ini.

Katanya lesen berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pengusaha-pengusaha perlu memohon semula mengikut SOP dan kriteria baharu untuk pastikan tiada pelanggaran standard dan peraturan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu tindakan kementerian ke atas longgokan beribu tan sisa pepejal yang datang dari negara maju selepas China mengharamkan kemasukan sisa pepejal ke negara mereka.

Menurut Yeo, China telah mengharamkan kemasukan sisa pepejal ke negara mereka berkuat kuasa Januari lepas, justeru kebanyakan negara Barat mengeksport sisa pepejal mereka ke negara Asia lain.

Dalam hal ini, beliau berkata berdasarkan laporan ‘British National Audit Office’, Malaysia menjadi pengimport terbesar sisa pepejal plastik dari United Kingdom, dengan mengimport sebanyak 17 peratus daripada keseluruhan 250,000 tan sisa pepejal dari negara berkenaan hanya untuk tempoh suku pertama tahun ini.

Sebagai perbandingan, untuk tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak 40 peratus sisa pepejal plastik negara itu diimport China, kata Yeo.

“Kerajaan turut menubuhkan satu task force untuk mengkaji kaedah terbaik kawalan import plastik yang telah dihentikan…

“Kerajaan sedia maklum terlalu banyak sisa plastik berada di tempat berbeza sejak Januari tahun ini dan bersedia mengambil tindakan terhadap pengusaha-pengusaha yang cuba nasib memproses plastik ini secara haram dan akan membawa mereka ke mahkamah berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

— BERNAMA