Kerajaan PH Turunkan Harga Runcit Petrol, Diesel Bermula Tengah Malam Ini

Kerajaan PH Turunkan Harga Runcit Petrol, Diesel Bermula Tengah Malam Ini

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan harga runcit minyak RON95 akan diturunkan daripada RM2.20 kepada RM1.93 seliter, manakala RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 kepada RM2.23 seliter bermula tengah malam ini hingga 11 Januari ini.

Hal ini ini diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya hari ini, di sini. Beliau berkata bahawa kerajaan PH memutuskan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras aliran penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Guan Eng berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Januari lalu telah mempertimbangkan penetapan mingguan itu dan akan mula dilaksanakan tengah malam ini.

Guan Eng turut berkata bahawa “harga runcit produk petroleum akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.”

“Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019,” tambah Guan Eng.

Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.

Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa.

Tahun 2008 merupakan kali terakhir kadar margin ini disemak semula oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, kerajaan PH juga akan terus komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Kaedah baharu ini ialah inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak pernah diamalkan sebelum ini. Pengekalan harga pada paras ini adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran,” tegas Guan Eng.