KOTA BELUD – Sejak pembentukan Malaysia pada September 1963, Kerajaan Pusat membawa pembangunan berterusan ke Sabah dan Sarawak.
Memetik kenyataan portal berita Sayang Sabah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said dipetik sebagai berkata selain pembangunan, Kerajaan Pusat juga telah banyak mendengar suara rakyat Sabah termasuk pelantikan jawatan pemimpin tempatan ke dalam Kabinet Persekutuan.
“Kita baru saja menjuarai Sukan SEA Ke-29, kemudian menyambut Hari Kebangsaan serta Hari Raya Aidil Adha dengan aman, harmoni dan bersatu padu.
“Ini adalah nikmat kemerdekaan hasil perjuangan para pemimpin terdahulu yang menyatukan Sabah dan Sarawak pada tarikh keramat itu.
”Fikirkanlah, andai kata kita tidak menyertai pembentukan Malaysia, apa nasib anak-anak bangsa jika kita memilih untuk bersama Filipina atau Indonesia yang sampai hari ini menghadapi masalah perpaduan.
”Kerajaan Pusat telah banyak mendengar permintaan kita. Dahulu kita hanya ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi kini yang mewakili Kadazan Dusun dan Murut (KDM) sahaja telah ada tiga orang menteri penuh,” ujar beliau.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan berkata rakyat Sabah perlu bersyukur dan terus memberi sokongan kepimpinan Perdana Menteri pada hari ini.”
Kita perlu bersyukur atas nikmat merdeka yang kita perolehi dan terus menyokong pemimpin-pemimpin supaya mereka dapat merancang kemajuan dan kemakmuran negara.
”Bukan setakat pembangunan, malah jawatan ketua-ketua jabatan persekutuan di Sabah juga telah ada yang diterajui anak tempatan.
“Contohnya, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), bukan sahaja diketuai orang Sabah, malahan ketiga-tiganya berasal dari Kota Belud,” jelasnya.
Tambah Salleh, pelaburan asing yang tinggi di negara ini juga membuktikan keyakinan para pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Merdeka dan Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Dewan Kampung Tambulion Laut.

Pada majlis tersebut, Dr Salleh menyampaikan sumbangan RM518 ribu kepada JKKK seluruh DUN Kadamaian serta meluluskan peruntukan RM100 ribu bagi membaik pulih dewan di kampung tersebut.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Jamli, ADUN Kadamaian Ukoh Malajad, Setiausaha Politik kepada Menteri KKMM, Datuk Bahrol Sawi, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Ketua Bahagian PBS Kadamaian Demis Rumanti, Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Ewon Benedict, Pemimpin Pembangunan Rakyat Kadamaian Daimin Sulukan dan Pengerusi Penganjur Fandy Rajin.