Kerajaan Sarawak Larang Import Daging Babi Dalam Tin Dari China

Kerajaan Sarawak Larang Import Daging Babi Dalam Tin Dari China

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUCHING, SARAWAK – Kerajaan negeri Sarawak telah mengenakan larangan pengimportan babi dan semua produk babi dari negara-negara dijangkiti virus deman babi Afrika (ASF) termasuk produk babi dalam tin dari China sehingga dimaklumkan kelak.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) berkata larangan tersebut susulan virus ASF dikesan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada salah satu daripada 17 sampel ‘luncheon’ babi dalam tin diimport dari China.

“Virus berkenaan yang dikesan telah disahkan oleh Kesihatan Awam Veternari di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, semasa ujian makmal menggunakan Real Time Polymerase Chain Reaction (q-PCR) pada Jumaat lalu,” kata JPVS dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jabatan itu memberi jaminan bahawa setakat ini, tidak ada jangkitan virus ASF dilaporkan ke atas babi di negeri ini dan pengesanan virus itu tidak mengubah status Sarawak sebagai negeri bebas ASF.

“JPVS serta agensi berkaitan akan melakukan pemeriksaan di semua pasar raya dan produk yang dijangkiti ASF akan ditarik balik dari pasaran.

“Produk-produk yang masih dalam penghantaran perlu menjalani mekanisme ‘ hold-test-release’ bagi memastikan produk berkenaan bebas dicemari virus ASF.

“Setakat ini, jabatan telah menahan 220 kilogram produk haiwan yang dibawa oleh pelawat yang datang ke negeri ini melalui semua pintu masuk,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut JPVS, kompaun telah dikeluarkan terhadap pelanggaran syarat import-eksport dengan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 di pelabuhan.

– BERNAMA