Kerajaan Sarawak Tidak Berhutang Dengan Kerajaan PH

Kerajaan Sarawak Tidak Berhutang Dengan Kerajaan PH

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Kerajaan Sarawak tidak berhutang atau mempunyai tunggakan dalam pembayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan yang kini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurut kenyataan media dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri petang semalam, perkara itu telah dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dikemukakan kepada Majlis Kewangan Negara.

Kata kenyataan itu lagi, pinjaman Persekutuan dibayar tepat pada masanya berdasarkan jadual bayaran balik seperti yang ditetapkan dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Setakat 31 Disember 2018, jumlah kerajaan negeri membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.38 bilion.

“Sarawak satu daripada negeri yang tidak mempunyai isu tunggakan dalam pembayaran balik pinjaman…

“Ini disahkan sendiri Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dikemukakan kepada Majlis Kewangan Negara,” katanya.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak mengeluarkan kenyataan media itu sebagai menjawab kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 6 Januari lalu berhubung pinjaman kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Dalam kes Sarawak ini, pinjaman Persekutuan diperolehi bagi membiayai pelaksanaan pelbagai projek di bawah Senarai Bersama merangkumi bekalan air, pembetungan, estet perindustrian, perumahan dan pertanian, terutama ladang kelapa sawit melibatkan pekebun kecil.

Ia adalah prosedur biasa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk negeri-negeri di Malaysia mendapat pembiayaan Persekutuan sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah…

Terdahulu, Guan Eng telah menempelak kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mendakwa Kerajaan Persekutuan berhutang RM2.7 juta kepada Sarawak dalam bentuk hasil cukai pelancongan.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan, Guan Eng mempersoalkan kembali situasi kewangan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta…

Lim Guan Eng…

“Memandangkan Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada Kerajaan Persekutuan?” kata Guan Eng.