Kerajaan Warisan Kini Pembangkang, Wujudkan Semula JPPS Di Sabah – BERSATU Sabah

Kerajaan Warisan Kini Pembangkang, Wujudkan Semula JPPS Di Sabah – BERSATU Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan diminta mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berikutan Kerajaan Negeri Sabah kini berstatus pembangkang di peringkat Persekutuan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, JPPS pernah diwujudkan di Sabah semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah Sabah sebagai pembangkang.

Beliau berkata, dengan perkembangan politik mutakhir ini dan Kerajaan Warisan Sabah kini adalah pembangkang, maka adalah wajar JPPS diwujudkan semula sebagai platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor…

Katanya, penubuhan JPPS amat penting sebagai ‘instruments’ Persekutuan untuk menyelia, memantau dan menyelaras pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan di peringkat negeri.

“BERSATU Sabah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar segera mewujudkan JPPS bagi menjayakan segala program dan projek pembangunan yang disalurkan Pusat kepada Negeri Sabah.”

“JPPS juga berfungsi sebagai wakil Kerajaan Pusat, perantara dan penghubung antara Pusat dan Negeri seperti yang telah diwujudkan di negeri Kelantan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah di Alamesra, hari ini.

Foto Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor mempengerusikan mesyuarat Bersatu Sabah…

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga perlu mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah bagi memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di peringkat akar umbi.

Katanya lagi, Sabah kini mempunyai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan pelantikannya masih di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembayaran elaun.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, adalah menjadi amalan biasa peruntukan pembangunan Kerajaan Pusat tidak akan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri dari parti pembangkang.

Beliau optimis, menerusi JPPS, Kerajaan Pusat dapat membantu membangun dan memajukan Sabah khususnya kawasan luar bandar yang masih ketinggalan merusi peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada JPPS.

“Kita tidak mahu rakyat dan negeri Sabah rugi dan menderita akibat peruntukan pembangunan tidak sampai kerana Kerajaan Sabah adalah pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan.”

Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya UPKO dan Pakatan Harapan (PH) Sabah kekal menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blok pembangkang dan tidak kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi Kerajaan Persekutuan.