Kes Buli; 3 Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Ditahan Polis

Kes Buli; 3 Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Ditahan Polis

0
SHARE

SERI ISKANDAR, PERAK – Polis menahan tiga pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Parit, dekat sini, dipercayai memukul dan membuli dua pelajar lain.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah dipetik berkata akibat kejadian itu, dua pelajar Tingkatan Satu sekolah berkenaan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh kerana mengalami kesakitan di kepala dan badan.

Beliau berkata, kejadian berlaku di bilik menonton asrama sekolah jam 1 pagi semalam dan polis menerima laporan kejadian jam 9.50 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, pengadu dipukul sekumpulan pelajar lelaki yang muka mereka ditutupi kain dalam gelap sehingga menyukarkan pengadu mengenal pasti saspek…

“Pengadu mengesyaki pelajar yang memukulnya adalah pelajar senior Tingkatan Tiga kerana kira-kira tiga minggu lalu, pengadu ada melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kegiatan mereka yang selalu meminta duit.

“Ketika sedang tidur pengadu mendakwa dibawa seorang pelajar yang tidak dikenali ke bilik menonton di blok asrama sama,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, sebaik sampai di bilik menonton berkenaan, barulah pengadu tersedar bahawa keadaan di dalam bilik itu gelap.

Katanya, pengadu kemudian ditendang dan dipukul di bahagian hadapan dan belakang badan termasuk di kepala beberapa kali.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pengadu berada dalam keadaan lemah dan suspek membiarkan pengadu beberapa minit sebelum dipukul sekali lagi oleh sekumpulan pelajar.

“Pengadu cuba menjerit tetapi mulutnya ditutup manakala beberapa pelajar lain yang terbabit memukul pengadu memegang kaki dan tangan serta menumbuk bahagian perut beberapa kali dengan kuat.

“Pengadu turut diberikan amaran oleh pelajar yang memukulnya supaya tidak menghebahkan kejadian itu dan mengarahkan pengadu supaya beredar dari bilik berkenaan dalam tempoh lima minit jika tidak mahu dipukul lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis sudah menahan tiga pelajar Tingkatan Tiga sekolah terbabit bagi membantu siasatan dan masih mengesan beberapa lagi pelajar yang terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga pelajar yang ditahan diambil keterangan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis.