Kes Kesahan Ketua Menteri Sabah: Shafie Kekal Ketua Menteri Sabah, Musa Fail...

Kes Kesahan Ketua Menteri Sabah: Shafie Kekal Ketua Menteri Sabah, Musa Fail Rayuan Di Mahkamah Rayuan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sah sebagai Ketua Menteri selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak saman yang dibuat ke atasnya oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Keputusan berkenaan sekali gus menamatkan kemelut dan teka-teki yang berlarutan selama hampir enam bulan dalam menentukan Ketua Menteri Sabah yang sah untuk mengetuai pimpinan pentadbiran negeri Sabah

Hakim Datuk Yew Jin Kie membuat keputusan berkenaan tepat pada jam 4.10 petang tadi dengan menolak saman Musa dengan kos sebanyak RM30,000 yang perlu dibayar oleh pihak plaintif kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang masing-masing merupakan defendan pertama dan kedua.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie turut berkata bahawa isu berkenaan pelantikan Mohd Shafie tidak mengikut berperlembagaan dan tidak sah adalah negatif.

Dalam keputusan perhakimannya, Jen Kie mengumumkan bahawa permohonan saman tersebut ditolak memandangkan Musa yang terlebih dahulu kehilangan majoriti apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar parti dan menyebelahi Mohd Shafie.

Jen Kie yang merujuk kepada kes krisis bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai perbandingan bagi menunjukkan Musa dianggap perlu mengosongkan jawatan apabila hilang majoriti.

“Dalam kes di Perak, ia jelas bahawa apabila Kabinet termasuk Ketua Menteri dianggap mengosongkan pejabat masing-masing, ia memberi laluan kepada defendan pertama (Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin) untuk melantik defendan kedua (Mohd Shafie) bagi menggantikan plaintif (Musa) mengikut Artikel 6 (3) Perlembagaan Sabah,” katanya.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 29 kerusi DUN manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya yang terdiri daripada PKR dan DAP turut memenangi 29 kerusi, manakala baki dua lagi dimenangi oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun, tampuk pentadbiran di Sabah berubah apabila enam ADUN daripada BN bertindak keluar parti pada 12 Mei lalu dan menyokong Mohd Shafie sebagai ketua pentadbiran di Sabah.

Mohd Shafie kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah dan melantik barisan Kabinet Negeri.

Selain itu, mahkamah turut menolak saman pemula difailkan ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim untuk mencabar pelantikan Kabinet negeri di bawah Mohd Shafie.

Jahid Jahim…

Jen Kie kemudian memerintahkan Jahid untuk membayar kos RM15,000 kepada Mohd Shafie…

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Datuk Douglas Lind yang mewakili Mohd Shafie berkata, pihaknya sudah menjangka akan menang dalam kes itu kerana semua proses pelantikan Mohd Shafie mengikut Perlembagaan negeri dan undang-undang.

“Satu yang penting ialah Musa hilang majoriti pada 11 Mei, jadi dengan kurang majoriti dia harus meletak jawatan mengikut Artikel 7 (1) Perlembagaan Sabah…

“Jadi, biarpun dia tidak meletak jawatan tetapi menurut kes Nizar dianggap dia sudah mengosongkan jawatannya, jadi dengan itu TYT (Juhar) mesti menjalankan tugas Perlembagaan untuk melantik pengganti Musa dan orang yang dilantik mesti ada majoriti di DUN.

“Yang ada majoriti pada masa itu ialah Mohd Shafie, jadi dia dilantik mengikut undang-undang dan Perlembagaan, tiada masalah. Tun (Juhar) mengikut undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad, berkata pihaknya akan menasihatkan Musa untuk memfailkan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

“Kita menghormati keputusan mahkamah… hakim memberikan penghakiman yang panjang kira-kira sejam. Sudah tentu kita tidak bersetuju dengan kebanyakan penghakimannya tetapi ia adalah sah dan kita menghormatinya. Namun, kita juga ada hak untuk merayu,” katanya.