Kilang Proses Dadah Diserbu, Seorang Lelaki Bakal Berdepan Hukuman Gantung

Kilang Proses Dadah Diserbu, Seorang Lelaki Bakal Berdepan Hukuman Gantung

0
SHARE

BUKIT MERTAJAM – Susulan pembongkaran polis berhubung sebuah kilang memproses dadah baru-baru ini, seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret disini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, dua minggu lalu .

Lee Wooi Keong, 46, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 27, 275 gram di No 60-62, kawasan perindustrian kecil dan sederhana Bukit Tengah di sini pada jam 3 pagi, 12 Sept lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menerusi Seksyen 39B(2) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung atau dipenjara seumur hidup, dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Zakaria dan Lee yang memakai seluar pendek dan kemeja-T berwarna kuning itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Nov depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan polis telah membongkar kilang memproses eramin 5 dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM72.5 juta dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan Industri Kecil dan Sederhana Bukit Tengah di sini pada 14 Sept lalu.

Dalam serbuan itu polis turut merampas 2.13 juta pil eramin 5, serbuk eramin 5 (742.6 kilogram), syabu (27.3 kilogram), 5,080 pil ekstasi dan 53.7 kilogram pelbagai cecair kimia untuk menghasilkan eramin 5.

– BERNAMA