KJ, Anifah Aman Tidak Keluar Dewan Kerana Hormati Majlis

KJ, Anifah Aman Tidak Keluar Dewan Kerana Hormati Majlis

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan beliau tidak keluar Dewan Rakyat seperti yang dilakukan oleh rakan pimpinan BN dan PAS pagi tadi kerana beliau menghormati majlis.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan dengan pelantikan Speaker Dewan Rakyat, namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan, lapor Sinar Harian.

“Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

“Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui ‘standing order’ pada hari Rabu,” katanya kepada pemberita di Parlimen, di sini hari ini.

Katanya, pada pandangan beliau hari ini lebih baik ahli Dewan menghormati majlis.

“Dan kita tak buat apa tindakan yang mencemarkan imej BN sebagai pembangkang yang berwibawa, dan ini saya bercakap bagi diri saya,” katanya.

Pagi tadi, ahli Parlimen BN dan Pas keluar Dewan Rakyat sebagai tanda boikot pelantikan Speaker Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohd Ariff Md Yusof.

Protes ini tercetus kerana pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-9 pada hari ini menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketegangan bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah bangun mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, tiba-tiba ahli Parlimen BN dan PAS memintas menyatakan lantikan itu tidak sah.

Difahamkan, selain Khairy, Datuk Seri Anifah Aman (UMNO – Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.