KJ Bakal Bersaing Dengan Zahid, Ku Li Bagi Jawatan Presiden UMNO

KJ Bakal Bersaing Dengan Zahid, Ku Li Bagi Jawatan Presiden UMNO

0
SHARE

KUALA LUMPUR  – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membuat kejutan di saat akhir apabila bakal bertanding bagi jawatan Presiden UMNO, hari ini. Khairy yang lebih dikenali dengan panggilan KJ, menyatakan beliau mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO sebelum ini.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Rembau itu akan mengemukakan pencalonannya hari ini yang merupakan tarikh akhir untuk berbuat demikian bagi bertanding dalam pemilihan UMNO 2018.

Difahamkan, Khairy akan membuat kenyataan pada hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mengesahkan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

Turut mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut sebelum ini ialah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini menyebabkan Khairy bakal memberi persaingan hebat kepada Ku Li dan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Di samping itu, blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz turut menyatakan hasrat sama dan sudah mengemukakan borang pencalonan.

Kaunter penghantaran borang ini dibuka bermula pukul 8 pagi dan akan ditutup pukul 5 petang ini iaitu serentak dengan tamatnya masa penghantaran borang pencalonan untuk pemilihan UMNO.