KKMM Cadang Gubal RUU Wajibkan Bangunan Baru Perlu Sedia Akses Internet

KKMM Cadang Gubal RUU Wajibkan Bangunan Baru Perlu Sedia Akses Internet

0
SHARE
Gobind Singh Deo...

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menggubal satu rang undang-undang (RUU) bagi mewajibkan setiap pembinaan bangunan baharu menyedia akses kepada internet.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata melalui penggubalan RUU itu, kemudahan akses internet boleh dikategorikan sebagai utiliti seperti bekalan elektrik dan air untuk setiap unit rumah.

“Sekiranya (internet) ia menjadi satu asas hak asasi manusia ia boleh dikategorikan sebagai utiliti… kita juga ada keperluan untuk pastikan semua rumah bersambung dengan fiber.

“Saya juga akan minta bantuan dan sokongan kerajaan negeri supaya kita boleh pastikan semua bangunan pada masa depan ada termasuk dalam syarat-syarat seperti mana keperluan syarat elektrik dan air, juga keperluan untuk sambungan internet,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mencadangkan supaya pemaju perumahan diwajibkan memasang jalur lebar di setiap pembangunan perumahan baharu bagi membantu sasaran liputan jalur lebar lebih meluas dapat dicapai.

– BERNAMA