KM Sabah Gesa JBPM Tingkatkan Tahap Kesediaan Berlakunya Kebakaran Pada Musim Panas...

KM Sabah Gesa JBPM Tingkatkan Tahap Kesediaan Berlakunya Kebakaran Pada Musim Panas Ini

0
SHARE

PUTATAN, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah untuk tingkatkan tahap kesediaan mereka bagi menghadapi sebarang kebarangkalian berlaku kebakaran pada musim panas ini memandangkan hujan yang semakin berkurang di negeri Sabah ini.

Beliau turut berkata JBPM perlu bersedia untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Air Sabah dan majlis daerah bagi memastikan bekalan air di sesuatu kawasan mencukupi dan tekanan air dalam keadaan baik.

Hal ini kerana, beliau tidak inginkan insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih Putatan kelmarin berlaku lagi kepada kawasan lain apabila kebakaran sukar untuk dipadamkan dengan pantas disebabkan masalah kekurangan air dan tekanan air rendah di kawasan tersebut.

“Agensi (bomba) kena peka supaya persediaan cukup kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu dan musim panas ini kesiapsiagaan itu adalah perlu. Kadang-kadang di sesebuah kawasan air tidak cukup tekanan, apabila dalam keadaan itu, bomba perlu kenal pasti pam air mereka mencukupi atau tidak.

“Jika air tidak mencukupi, mereka perlu menghubungi jabatan air terdekat untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa melawat lokasi kejadian kebakaran Kampung Pasir Putih, Putatan dan menziarahi mangsa di Dewan Serbaguna Putatan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Uda Sulai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas.

Uda Sulai

Mohd Shafie berkata satu sistem efisien perlu diwujudkan bagi mencegah kebakaran daripada cepat merebak terutama di kawasan kurang bekalan air atau tekanan air rendah termasuk menyediakan lori tangki serta pam menyedut air laut untuk operasi memadam kebakaran di kawasan kampung atas air.

“JBPM Sabah juga perlu memberi penerangan dan pendidikan kepada penduduk setempat mengenai keselamatan pendawaian selain ciri-ciri keselamatan diluluskan bomba dalam pembinaan rumah,” katanya.

Mengenai kebajikan mangsa kebakaran, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan merancang dengan teliti pendekatan terbaik membantu mangsa terutama berkaitan tempat tinggal berikutan pusat pemindahan sementara itu tidak boleh diduduki sehingga enam bulan.

“Kerajaan negeri akan memikirkan bagaimana mengatasi masalah masyarakat kampung ini. Namun, kita akan memastikan bantuan lain termasuk makanan dan perubatan akan dijaga dengan baik,” katanya.

Sebanyak 55 rumah di kampung itu musnah dalam kejadian kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan api sukar dikawal berikutan tekanan air pili bomba rendah serta rumah yang dibina terlalu rapat.

Seramai 315 penghuni daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu dengan keseluruhan keluasan kawasan kebakaran kira-kira empat hektar.