Kontena Sejuk Beku Di Belanda Jadi Tempat Persembunyian 25 Pendatang

Kontena Sejuk Beku Di Belanda Jadi Tempat Persembunyian 25 Pendatang

0
SHARE

THE HAGUE, BELANDA – Kru feri menemui 25 pendatang dalam kontena sejuk beku sebuah kapal yang dalam pelayaran dari Belanda ke Britain semalam, kata perkhidmatan kecemasan.

Kapal kargo menuju ke Felixstowe itu berpatah balik ke pelabuhan Vlaardingen berhampiran Rotterdam, sebaik mereka menemui pendatang terbabit, katanya dalam kenyataan.

Pendatang yang ditemui itu menerima rawatan perubatan di pelabuhan dan dua dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut kerana disyaki menghidap ‘hipotermia’.

Memetik laporan AFP, penemuan itu berlaku sebulan selepas 39 warga Vietnam ditemui mati dalam trak sejuk beku di Britain, sekali lagi menunjukkan risiko laluan pendatang tanpa izin ke Eropah.

“Dalam kapal, ada beberapa orang ditemui dalam kontena yang sejuk. Kapal terpaksa kembali ke pelabuhan.

“Dua puluh lima orang dibawa keluar dari kapal dan diberi rawatan kesihatan,” kata perkhidmatan kecemasan Rotterdam di Twitter.

Katanya, tiada kematian dilaporkan dalam kalangan pendatang terbabit menerusi mesej awal yang diterima.

Dua orang dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjutan manakala 23 lagi dihantar ke balai polis selepas pemeriksaan perubatan.

DFDS Seaways, yang mengendalikan feri kargo, berkata pendatang itu menaiki bot dengan lori treler, lapor akhbar De Telegraaf.